Wednesday, April 2, 2008
Semua Umno bahagian sokong Ahmad MB baru
UMUM PELANTIKAN: Datuk Bentera Luar, Datuk Oar Pilus (kiri) membacakan watikah pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu dihadapan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman (duduk kanan) sebelum majlis penyerahan watikah perisytiharan pelantikan di Istana Tetamu, di Kuala Terengganu, semalam. Ahmad, 51, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri. Pada pilihan raya umum lepas, Ahmad berjaya mengekalkan kerusi DUN Kijal menewaskan calon PAS, Hazri Jusoh dengan majoriti 3,157 undi. - Foto BernamaTengku Putera percaya Adun Kijal mampu terajui Terengganu KUALA TERENGGANU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang mendakwa semua Ketua Umno Bahagian di Terengganu, kecuali Besut, menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar. Tengku Putera berkata, mereka sebulat suara menyokong pemilihan Ahmad kerana percaya beliau mampu menerajui kepemimpinan negeri itu.Selain Tengku Putera selaku Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, turut menyokong pelantikan Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman, ialah Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Dungun), Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu). “Saya tidak dapat menghubungi Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu (Datuk Wan Farid Wan Salleh), tetapi saya percaya beliau juga menyokong pelantikan Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar. “Kami Ketua Umno Bahagian memberi jaminan untuk memastikan beliau (Ahmad) mendapat sokongan daripada anggota Umno dan berharap rakyat turut memberi sokongan,” katanya kepada Bernama.BANTAH PELANTIKAN: Rosol menyerahkan memorandum bantahan pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu melalui pegawai Istana, di Istana Tetamu, Kuala Terengganu, semalam.Tengku Putera berpendapat pemilihan Ahmad adalah penyelesaian yang bijak dilakukan MPPR berhubung kemelut pemilihan Menteri Besar Terengganu demi kepentingan rakyat. Beliau percaya Adun juga akan menyokong pelantikan Ahmad jika mereka mendapat gambaran sebenar berhubung pemilihan wakil rakyat Kijal itu. “Ada Adun yang tidak mendapat maklumat sebenar. Kami berharap semua Adun ini akan bersatu kerana yang lebih penting ialah kepentingan parti bukan individu. Kepimpinan silih berganti,” katanya. Beliau menasihatkan Datuk Seri Idris Jusoh supaya bersabar dan menerima keputusan MPPR kerana sebagai ahli parti, beliau sepatutnya boleh bekerja walaupun tanpa jawatan.“Seperti kami yang tidak bertanding (dalam pilihan raya umum lalu), masih boleh bekerja kerana yang penting, kita hendak memastikan BN dan Umno kuat,” katanya sambil mengharapkan ahli Umno di negeri ini supaya tidak cuba menimbulkan sebarang masalah. Beliau juga berharap pemimpin Umno di luar negeri itu tidak membuat sebarang andaian kerana pelantikan Ahmad dibuat sebagai memenuhi kehendak rakyat negeri itu. Mohd Nasir yang berada di Singapura ketika dihubungi, bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai pelantikan Ahmad. Katanya, beliau tidak begitu mengikuti perkembangan mengenai perebutan jawatan Menteri Besar itu dan sukar baginya untuk memberi komen yang adil dan saksama. Mohd Jidin yang juga Ahli Parlimen Setiu, juga enggan mengulas kerana masih belum mendapat gambaran jelas mengenai isu itu. "Saya belum mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian untuk memastikan sentimen ahli Umno di bahagian Setiu," katanya. Wan Ahmad Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, pula berkata beliau memerlukan fakta yang jelas sebelum memberi sebarang ulasan. "Saya dengar khabarnya Ahmad akan dikenakan tindakan disiplin dan sekiranya dakwaan itu betul dan dia dijatuhi hukuman, sudah pasti kami sebagai ahli parti tidak dapat menyokong pelantikannya," katanya. Pendapat itu juga disuarakan Abdul Rahman yang berkata, semua keputusan yang dibuat mesti untuk kebaikan parti. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment