Thursday, July 17, 2008

Majlis Perwakilan Pelajar: Politikus Semulajadi

Apabila dikatakan tentang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sudah semestinya mereka ini adalah pemimpin-pemimpin pelajar yang dipilih secara pilihanraya untuk memimpin pelajar yang lain. Jika dilihat secara objektif, kepimpinan adalah suatu proses membawa sekumpulan pengikut ke satu arah yang ditentukan. Kepimpinan bukanlah suatu amanah kecil, tetapi suatu tanggungjawab yang besar.

Jika pemimpin tidak mahu memikirkan sesuatu perkara yang besar, maka haluan mereka akan menjadi singkat. Seseorang pemimpin dipandang melalui berapa besarkah idealisme yang dibawanya. Ada pemimpin yang membawa idealisme kebajikan, ada yang membawa kepada pembangunan menyeluruh, dan ada juga yang membawa kepada kemajuan dan ekonomi. Kebanyakan pimpinan mahasiswa menjadikan kebajikan sebagai idealisme perjuangan mereka.

Walaupun tidak menafikan kepentingan memperjuangkan isu kebajikan sebagai idealisme perjuangan MPP, penulis merasakan idealisme ini hanyalah idealisme yang berbentuk populis. Penulis tidak nampak kekuatan idealisme ini jika dinilai dari sudut realiti kedudukan pelajar pada masa kini. Pada asasnya, kebajikan pelajar sudahpun berada pada tahap yang baik, jika dibandingkan dengan keadaan di tempat lain.

Kebajikan sebagai idealisme adalah sesuatu yang tidak berpanjangan. Bagaimanakah kita mahu menjamin bahawa isu ini akan selesai? Setiap hari ada sahaja perkara yang berlaku, dan setiap hari juga akan ada mereka yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara. Adakah ini bermakna kebajikan mereka diketepikan?

Bagi penulis, kebajikan memang perlu diberikan penekanan pada setiap masa. Namun, idealisme perjuangan perlulah merangkumi perkara yang lebih besar, dan kebajikan hanyalah sub-topik yang perlu dibincangkan.

Pembangunan pelajar secara menyeluruh, itulah idealisme yang ingin penulis ketengahkan. Pembangunan ini merangkumi pembangunan intelektual, emosi, dan rohani. Pembangunan ini meletakkan pelajar berada di tahap tertinggi dari kalangan masyarakat. Perjuangan inilah perjuangan yang telus, tulus, dan berpanjangan.

Di dalam proses inilah, kebajikan memainkan peranan yang besar. Kebajikan adalah alat, tetapi pembangunan di atas adalah matlamat. Matlamat inilah idealisme perjuangan. Namun, ramai pemimpin pelajar tidak menyedari hal ini.

Untuk menyenangi idelisme ini, pelajar perlu dikembangkan minda mereka supaya menjadi kelas pertama. Mereka perlu didedahkan dengan budaya ilmu, budaya membaca, budaya berdiskusi, dan budaya kesukarelaan. Mereka perlu dibawa ke alam yang bukan materialistik, tetapi alam yang realistik dan murni. Sudah pasti, isu kebajikan tidak boleh diketepikan, tetapi fokus perlulah dilebihkan kepada isu pembangunan pelajar yang unggul.

Untuk memperjuangkan idealisme ini, suatu perancangan yang rapi perlu dibuat. Ingatlah ketika Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berjuang di jalannya dengan teratur seperti sebuah bangunan”. Maka, strategi-strategi perlu dirancang supaya akhirnya pelajar mengikuti plan MPP. Inilah yang menyebabkan panulis mengatakan bahawa MPP adalah politikus semulajadi. Mereka perlu mempunyai agenda pergerakan mereka. Jika tidak, lebih baik mereka meletak jawatan sahaja kerana sudah pasti gerakan mereka tidak akan ke mana-mana.

Oleh itu, amat perlu bagi kita semua menjadikan komuniti ini sebagai komuniti terbaik, demi membentuk masyarakat yang baik dan masa depan yang baik. Budaya membaca perlu diamalkan, diikuti dengan budaya berdiskusi, seterusnya mengikuti aktiviti-aktiviti yang bermanfaat kepada ummat. Sesungguhnya, sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain.


AHMAD SAFWAN MOHAMAD
UIAM Kampus Kuantan.

Sunday, July 6, 2008

Memperkasa Gerakan Mahasiswa di Era Baru

Memperkasa Gerakan Mahasiswa di Era Baru
Oleh: A. Safwan Mohamad

Gerakan mahasiswa seringkali dilihat sebagai gerakan berhaluan kiri. Mahasiswa dijadikan kambing hitam dalam meniti arus politik yang maha mencabar. Mahasiswa dikaitkan dengan pembangkang, jika persis membantah tindakan-tindakan pihak kerajaan ataupun universiti sendiri. Apabila gejala ini berlaku, mahasiswa menjadi buntu dan gerakan ini menjadi kaku. Jarang sekali mahasiswa dilihat sebagai pembangun negara (nation-builder). Perkara sebegini hanya akan menyekat kebijaksanaan generasi ini dan seterusnya manjadikan generasi ini statik.

Gerakan Era Baru
Umum mula mempersoalkan tentang kewajaran mahasiswa menjadi suara masyarakat. Antara hujah mereka ialah mahasiswa masih lagi menuntut, dan perlu fokus dengan bidang pengajian mereka. Ada pula yang mengatakan bahawa suasana politik negara yang sedia ada sudah cukup lengkap, tidak memerlukan sumbangan mahasiswa dalam pembinaan negara ini. Akhirnya, mahasiswa menjadi eksklusif dan asing daripada arus masyarakat.

Tidak dinafikan, sumbangan mahasiswa di negara lain sedikit sebanyak membanggakan kita di negara ini. Di Indonesia misalnya, mahasiswa adalah antara penentu dasar pentadbiran kerajaan dengan imej garang dan berani mereka. Di Iran, gerakan mahasiswa yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Shah Iran suatu ketika dahulu menjadi inspirasi gerakan mahasiswa sehingga ke hari ini. Di Afghanistan, gerakan pelajarlah yang menentukan keadaan di negara itu.

Di mana-mana sahaja, gerakan pelajar atau mahasiswa menjadi pencorak kepada keadaan politik negara itu. Namun, disebabkan tindakan tersebut, maka hari ini gerakan mahasiswa di negara kita dipandang sepi dan dikatakan gerakan berhaluan kiri. Tidak dinafikan, memang ada gerakan mahasiswa yang menyelusuri gerakan-gerakan radikal sebegitu dan mengambil tindakan sama dalam menghadapi situasi sukar. Namun tidak wajar jika dinafikan terus kewujudan gerakan yang dinamik, menjadi rakan nation-building apabila perlu, dan menjadi pengkritik apabila keadaan mendesak.

Itulah gerakan mahasiswa di era baru ini. Mahasiswa perlu membentuk suatu pakatan yang bukan anti-establishment, tetapi mempunyai pandangan yang bebas. Mahasiswa perlu menonjolkan idea-idea mereka sendiri untuk dipertontonkan kepada masyarakat supaya masyarakat mempunyai idea alternatif, bebas daripada bauran politik kepartian, dan bebas daripada politik NGO. Mahasiswa mendasari kekuatan ilmiah dan keberanian anak muda.

Gerakan mahasiswa perlulah berbentuk non-partisan supaya idea mereka asli. Mereka tidak boleh terlalu rapat dengan kerajaan mahupun pembangkang untuk mengekalkan identiti mereka. Mahasiswa hanya perlu mengekalkan integriti dan kesatuan sesama mereka supaya suara yang terhasil nanti akan kuat berkumandang, dan didengari oleh setiap insan. Namun begitu, mahasiswa juga perlu menjalinkan kerjasama pintar dengan NGO, parti politik, bahkan sesiapa sahaja yang menyetujui idea yang dilontarkan oleh mahasiswa.

Mahasiswa sebagai suara ketiga
Keadaan dalam negara kita sekarang telah meletakkan parti politik sebagai keutamaan yang tertinggi. Setiap idea yang datang akan dinilai sama ada daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang. Rakyat seolah-olah dinafikan kewujudan saluran-saluran lain yang kredibel dan patut menjadi sumber rujukan mereka.

Selepas Pilihanraya Umum ke-12, rakyat mula sedar bahawa dengan hanya merujuk kepada sumber-sumber kepartian, mereka akan gagal mendapat gambaran sebenar tentang apa yang sedang berlaku. Bermula pada malam pengumuman keputusan pilihanraya lagi, para pemikir parti politik mula ‘menggaru kepala’ menyaksikan telahan mereka satu demi satu dinafikan. Perkara ini menggambarkan kepada kita bahawa mentaliti mereka telahpun diwarnai oleh politik kepartian, sedangkan mereka sepatutnya bebas dalam mentelaah sesuatu perkara. Jika mereka melakukan kajian sebagai seorang yang bebas, sudah pasti gambaran keputusan sudahpun berada di dalam telahan mereka.

Hujah ini membuktikan bahawa mahasiswa juga tidak boleh diwarnakan dengan politik kepartian, kerana ini hanya akan menjadikan mahasiswa fragmentalized atau tertutup mindanya. Segala ideanya akan terpengaruh dengan idea-idea parti politik yang disimpatikannya. Itulah penyakit keintelektualan yang sangat mencengkam diri para intelektual.

Seperti juga intelektual yang lain, mahasiswa perlu mempunyai wajah sendiri. Mahasiswa perlu menjadi suara alternatif kepada masyarakat. Kesibukan pembelajaran tidak seharusnya menjadikan mahasiswa kaku dan beku. Petikan kata-kata Prof. Diraja Ungku Aziz kerap dijadikan pembakar semangat pejuang di kalangan mahasiswa. Perjuangan memang penuh dengan ranjau cubaan. Mahasiswa perlu diproses dengan dugaan-dugaan sebegini untuk menjadi pemimpin yang kuat lagi gagah.

Jika dahulu, pimpinan mahasiswa mengambil sikap berkonfrontasi untuk berhadapan dengan keadaan sukar, tetapi kini mungkin budaya sebegitu bukan lagi menjadi pilihan utama. Konfrontasi secara ilmiah adalah opsyen mahasiswa pada masa kini. Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) perlu memainkan peranan mengetengahkan idea mahasiswa ke peringkat atasan. Oleh itu, di peringkat MPM sendiri perlu mempunyai idealisme mahasiswa. Jika tidak, gagasan memperkasa gerakan mahasiswa hanya akan menjadi suatu anganan.

Menyatukan Gerakan
MPM di seluruh negara mempunyai agenda tersendiri; itulah masalah besar yang dihadapi oleh gerakan mahasiswa di peringkat nasional. Mahasiswa gagal disatukan di bawah satu gerakan massa yang dipimpin oleh MPM bersatu. Majlis Perundingan Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) hanya menjuruskan kepada perbincangan di peringkat atasan, tanpa melibatkan wakil MPM di peringkat bawahan, ataupun mahasiswa sendiri. Gagasan MPPK hanya disahut oleh sebilangan kecil mahasiswa. Ini juga adalah kesan keintiman MPPK dengan kerajaan, yang mengakibatkan identiti mahasiswa terhilang di situ. Oleh itu, MPPK dilihat sebagai suatu usaha yang masih tidak mencapai matlamatnya.

Suatu usaha baru perlu dibuat oleh setiap mahasiswa yang berkesedaran. Mahasiswa perlu disatukan di bawah suatu pakatan baru, pakatan yang mempunyai idealisme tulen daripada mahasiswa. Idealisme ini tercerna hasil daripada perbincangan sesama mahasiswa secara tuntas. Manakala perbincangan ini pula perlu melibatkan seluruh lapisan mahasiswa di setiap peringkat. Gagasan yang dibawa oleh pakatan ini perlu dipikul oleh seluruh mahasiswa di peringkat kebangsaan, agar suara ini menjadi suara keramat.

Ketulenan gerakan
Oleh kerana pakatan ini adalah pakatan di peringkat kebangsaan, kemungkinan akan berlaku kecenderungan pihak tertentu memanipulasi pakatan ini untuk menyebelahi mereka. Perlu diingat bahawa pakatan ini, selama-lamanya akan bersikap non-partisan. Seluruh angkatan mahasiswa perlu menolak sebarang usaha mengaitkan gerakan ini dengan kepentingan sebarang gerakan parti politik.

Untuk memastikan gerakan ini tulen, mahasiswa perlu mengadakan majlis muhasabah sekerap mungkin. Setiap salah laku pimpinan MPM perlu diperbetul melalui diskusi secara matang. Ini penting demi mengekalkan kekuatan suara gerakan mahasiswa ini. Jika pertelingkahan berlaku sedangkan misi yang dibawa adalah maha besar, maka pembawaan itu akan terbantut dan akhirnya, golongan oportunis akan mentertawakan gerakan ini.

Berbudaya Ilmu
Ilmu adalah penerus kepada sesuatu gerakan, sama ada gerakan itu berhaluan kiri, ataupun kanan. Berbudaya ilmu bermaksud, setiap usaha, setiap tindakan, setiap percakapan, setiap lintasan pemikiran, hanyalah berdasarkan ilmu, fakta, dan bukti. Demi mencapai ke tahap ini, metodologi untuk mencapai ilmu itu perlu diperhalusi agar ilmu yang dicapai memberikan manfaat kepada diri dan masyarakat.

Sesuatu masyarakat yang berbudaya ilmu akan menyaksikan setiap lapisan masyarakatnya mengamalkan budaya membaca, berdiskusi, berhujah, dan mencari ilmu dengan ikhlas dan dengan penuh ghairah. Dalam erti kata yang lain, sesuatu komuniti di kampus yang berbudaya ilmu akan menyaksikan setiap lapisan manusia; bermula daripada cleaner, pelajar, pembantu tadbir, penjawat sementara, dan peniaga, semuanya mengamalkan budaya membaca dan berbincang sesuatu perkara secara ilmiah dan serius. Mereka mengamalkan sikap ‘hormat-kritis’ dalam berhadapan dengan sebarang maklumat. Mereka juga cenderung membicarakan perkara-perkara yang agak serius, seperti politik dan agama, tanpa mengetepikan perkara-perkara picisan seperti artis dan hiburan. Namun, sudah pasti perbincangan mereka lebih menjerumus kepada maklumat berfakta, bukanlah gosip-gosip tidak berasas.

Berbudaya ilmu juga menghendakkan mahasiswa tidak berminda fragmental, atau berbahagian-bahagian. Maknanya, mahasiswa tidak boleh over-emphasise terhadap bidang pengajian mereka, lantas melupakan bidang-bidang lain. Ilmuan Barat sendiri pernah menyesali keadaan specialization ini yang mengakibatkan keterbatasan dalam mencapai potensi seseorang ilmuan itu. Dalam erti kata yang lain, mahasiswa perlu mahir dalam segenap bidang; politik, ekonomi, agama, perundangan, dan sebagainya. Usaha yang berterusan diperlukan untuk menjadi mahir dalam bidang-bidang tersebut. Sebab itulah, istilah Pembelajaran Sepanjang Hayat (life-long learning) diperkenalkan untuk menggambarkan situasi ini.

Memperkasa Idealisme dan Aktivisme
Perjuangan meletakkan suara mahasiswa di persada masyarakat adalah perjuangan yang sangat penting. Ia perlu dipersiapkan demi memastikan perjuangan ini menepati matlamatnya. Tanpa suara daripada mahasiswa, masyarakat akan menjadi tidak keruan akibat kebergantungan maklumat daripada sumber-sumber berbaur politik dan berkepentingan. Sedangkan mahasiswa hanyalah mahukan keagungan bangsa dan negara dijulang dan kelangsungan keunggulan hasil negara pada masa hadapan.

Justeru, mahasiswa perlu tampil ke hadapan memberikan pendapat-pendapat yang non-biased, tidak menyebelahi mana-mana pihak. Mahasiswa perlu tampil dengan idea-idea unik dan menarik, alternatif kepada idea-idea yang disampaikan oleh pihak kerajaan, pembangkang, ataupun NGO-NGO. Cukuplah pimpinan mahasiswa sebagai suara mahasiswa, kerana suara ini adalah legal dan bebas.

Untuk menjadi suara mahasiswa yang utuh, pimpinan mahasiswa perlu memainkan peranan mendapatkan sokongan padu daripada segenap lapisan mahasiswa, tanpa mengira puak. Kepuakan yang wujud semasa pilihanraya kampus dijalankan perlu dihapuskan selepas sahaja pimpinan mahasiswa dipilih. Keberadaan pimpinan di kampus bukanlah untuk berpolitik semata-mata, tetapi untuk memacu perubahan di kampus dan mengheret perubahan di peringkat tempatan dan seterusnya kebangsaan. Sokongan yang padu perlu diberikan kepada pimpinan ini supaya agenda perubahan dapat dilaksanakan. Sumbangan berbentuk sokongan tidak berbelah bagi, idea bernas, teguran membina, dan tenaga keringat amat membantu dalam menjayakan misi ini. Mahasiswa yang berjiwa muda perwira tidak perlu gentar dengan ancaman dan kecaman pihak yang cemburu dengan kegagahan mahasiswa.

Semangat perlu kental, jiwa perlu besar, dan keazaman perlu menggunung dalam membawa panji ini. Keberanian mengeluarkan idea perlu disusuli dengan keberanian berhujah di hadapan khalayak. Seterusnya, keberanian perlu juga ditunjukkan dengan turun kepada masyarakat dan memberikan penjelasan berpandukan kepada kajian objektif mahasiswa. Jika perlu, mahasiswa perlu berani mengambil langkah-langkah drastik dalam menyampaikan idea mereka. Walaupun ini bukanlah langkah yang utama, tetapi ini adalah langkah yang penting untuk membuka mata masyarakat.

Menyusun Strategi, Memaksima Potensi
Pernyataan yang lama, tetapi masih relevan untuk dipakai ialah: Gagal Merancang bermakna Merancang untuk Gagal. Perancangan yang spesifik dan teratur amat penting dalam merekayasa gerakan yang ampuh. Mahasiswa perlu dikumpulkan demi merangka gerak kerja dan mendapatkan sokongan daripada akar umbi. Resolusi daripada pertemuan itu perlu dibawa ke peringkat nasional untuk digagaskan dan dicerna semula. Kemudian, tindakan bersepadu perlu direncana di semua IPT agar kekuatan mahasiswa akan dapat dirasai.

Bermula dengan membudayakan diskusi secara matang di kalangan mahasiswa, MPM perlu membuka ruang kepada perbezaan pendapat. Setiap IPT mempunyai kepakaran masing-masing, yang turut mewarnai cara penampilan MPM dari IPT tersebut. Universiti Malaya dan UPSI adalah antara universiti-universiti yang mempunyai sejarah yang unik dalam melahirkan pejuang-pejuang terkemuka. Dengan sejarah yang panjang itu, wajarlah mahasiswa meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menerajui gerakan mahasiswa ini. Namun, keterlibatan melampau MPMUM dengan kepolitikan kerajaan menggusarkan mahasiswa, lantas pertimbangan semula perlu dibuat.

MPM UPSI dengan pantas menggantikan MPMUM dalam mewarisi kepimpinan mahasiswa ini. Namun, MPM UPSI perlu tampil dengan lebih gagah dan tegas dalam menyuarakan idealisme mahasiswa. Tindakan menganjurkan Konvensyen MPP pada bulan Julai 2008 merupakan langkah positif di peringkat kebangsaan. Walaupun tidak pasti sama ada pemahaman yang jelas sudahpun diterapkan ke dalam diri setiap mahasiswa atau belum, mahasiswa perlu optimis dalam memandang kepada masa depan mahasiswa di Malaysia. Diharapkan agar konvensyen ini akan menghasilkan resolusi yang bukan sekadar retorik, tetapi realistik dan menggambarkan idealisme mahasiswa yang sebenar. Resolusi itu seharusnya disusuli dengan tindakan tegas daripada mahasiswa di semua peringkat, tanpa mencampuri sebarang kepentingan politik kepartian.

Sebelum tarikh keramat itu, penganjuran Konvensyen Mahasiswa oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut dilaksanakan pada bulan Julai 2008. Konvensyen ini akan menjadi titik tolak kepada pergerakan yang keramat di dalam arus gerakan mahasiswa masa kini. Sudah pasti, antara isu yang perlu dibangitkan ialah:
1) isu kebajikan mahasiswa:
a. servis internet di setiap universiti;
b. penempatan mahasiswa;
c. harga makanan yang mahal;
d. pinjaman PTPTN dan biasiswa;
e. pengurangan peruntukan kepada KPT;
f. Kad Mahasiswa;
g. Hospital universiti;
2) isu nasional:
a. kenaikan harga minyak;
b. ketidakstabilan politik negara;
c. penggunaan Bahasa Inggeris di dalam pelajaran Sains & Matematik;
d. penggunaan sumber tenaga alternatif;
e. keputusan ICJ berkenaan Pulau Batu Putih;
f. Pelan Integriti Nasional;
g. ISA dan AUKU;
h. Peningkatan gejala sosial dan kemiskinan;
3) isu antarabangsa:
a. penjajahan ke atas Palestin;
b. manipulasi harga minyak antarabangsa;
c. tekanan terhadap negara merdeka Iran;
d. kegawatan ekonomi dunia;
e. kedudukan OIC dan NAM;
f. Pilihanraya Presiden US;
g. krisis makanan dunia.

Selain daripada itu, IPT-IPT lain perlu juga memainkan peranan dalam isu-isu yang menjadi perjuangan mereka. UIAM sebagai contoh, perlu memperjuangkan isu berkaitan agama Islam, begitu juga USIM. UKM pula perlu memperjuangkan isu bahasa, kerana isu ini sehingga kini menjadi perjuangan asasi mereka. Begitu juga dengan UM dan UPM. Namun begitu, MPM dari universiti lain juga harus mengetahui bidang-bidang perjuangan mereka kerana hanya mereka sendiri yang memahami kekuatan dan kelemahan sendiri.

Antara Pelajaran dan Perjuangan
Setelah panjang lebar dibicarakan tentang perjuangan, mungkin timbul persoalan tentang peri penting mengekalkan keputusan yang baik di dalam pelajaran. Apabila dibicarakan tentang budaya ilmu di atas, ia merangkumi pembudayaan membaca dan menguasai pelbagai bidang ilmu. Sudah semestinya, bidang pengajian sendiri adalah keutamaan yang tidak sepatutnya diabaikan. Ilmu, menurut Prof. Syed Naquib, ialah kedatangan faham ke dalam diri seseorang tentang sesuatu, kemudian disandarkan kefahaman itu kepada tuhan. Maknanya, kefahaman itu adalah keutamaan yang paling utama. Dengan kefahaman itu datangnya keputusan yang baik di dalam peperiksaan. Keputusan itu adalah manifestasi kepada kefahaman yang ada di dalam hati mahasiswa itu.

Namun, wujud situasi di mana keputusan peperiksaan langsung tidak menggambarkan keadaan sebenar mahasiswa itu. Contohnya, jika dia menghadapi masalah semasa menghadapi peperiksaan, sedangkan dia adalah seorang yang bijak dan memiliki kefahaman yang tinggi. Perkara ini menggambarkan bahawa keputusan semata-mata tidak menjamin keadaan sebenar seseorang mahasiswa. Lantaran itu, mahasiswa tidak sepatutnya mengejar keputusan cemerlang sahaja, tetapi mereka sepatutnya mengejar kefahaman yang bermanfaat. Kerap kali berlaku, selepas sahaja peperiksaan, mereka terus terlupa tentang pelajaran yang mereka pelajari kerana mereka hanya belajar untuk peperiksaan dan keputusan peperiksaan, bukan kefahaman yang bermanfaat.

Sebaliknya, jika kefahaman yang bermanfaat dapat dicapai, sudah pasti keputusan peperiksaan akan menjadi lebih baik.

Menerus Perjuangan Mengisi Makna Hidup Mahasiswa
Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) adalah amanah yang diberikan kepada setiap perwakilan. Amanah ini membawa seribu mesej dan harapan, agar perubahan dapat dijana dengan setiap perlantikan baru. Namun, kekangan masa menyebabkan MPM gagal berfungsi dengan baik dalam membawa agenda perubahan ini.

Memang itulah cabaran yang perlu ditangani oleh seluruh MPM. Kewajipan melebihi waktu yang dimiliki. Oleh itu, perancangan yang teliti perlu dibuat, termasuklah perancangan berkenaan kesinambungan perjuangan. Satu mekanisme perlu dibentuk untuk memastikan perjuangan dapat dilaksanakan di semua peringkat dan dapat dipantau dalam jangka masa yang ditetapkan.

Perkara ini mungkin akan dikira sebagai membelakangi autoriti, tetapi perkara ini perlu dilakukan. Mahasiswa perlu keluar daripada kepompong lama yang mengaitkan mereka sama ada pro-pembangkang ataupun pro-kerajaan. Pelabelan dengan pelbagai bentuk label adalah sesuatu yang dijangkakan. Maka perlu bagi seluruh mahasiswa untuk memperkukuh tekad dan bersatu untuk menghadapi setiap cabaran ini. Amalan dan keyakinan kepada kuasa tuhan perlu dipertingkatkan agar kekuatan itu terlahir dari dalam. Kekuatan sebeginilah yang akan mampu membawa obor perjuangan di mana sahaja mereka berada.

Jika bukan kali ini, perlukah lagi masyarakat menunggu sehingga 100 tahun lagi, untuk melihat suara alternatif bangkit di tengah-tengah mereka? Semoga usaha ini berterusan dengan istiqamah yang dikurniakanNya kepada setiap hamba yang mahukan petunjukNya.


AHMAD SAFWAN MOHAMAD
Sekreariat Pembangunan Mahasiswa,
MPPUIAM Kampus Kuantan.