Friday, August 22, 2008

UiTM oh UiTM...

Salam sejahtera.

Tulisan saya kali ini akan berkisar kepada isu hangat, UiTM mahu dibuka kepada bukan bumiputera. Fuh! Hangat juga isu ini.

Tahniah diucapkan kepada para pelajar dan pemimpin pelajar UiTM kerana berjaya mengumpulkan bilangan pelajar sebegitu ramai. Saya harap, tiada unsur paksaan, tiada unsur sogokan, atau arahan pihak atasan universiti dalam demonstrasi tersebut. Ini kerana, jika wujud perkara-perkara sebegitu, tidak tulenlah perjuangan rakan-rakan semua! Jika ia berlaku atas permintaan pihak universiti, pihak universitilah yang boleh berbangga, anda semua tidak ada apa-apa.

Perjuangan mahasiswa perlu digagaskan sendiri oleh mahasiswa. Ia perlu lahir hasil perbincangan secara tuntas oleh mahasiswa. Para pejuang perlu benar-benar memahami perjuangan tersebut, bukan sekadar mengikut kawan-kawan yang lain. Jika ini berlaku, pasti mahasiswa tersebut berani menempuh segala ranjau di hadapan.

Saya rasa saya juga berhak untuk mengkritik Dato' Seri Ibrahim Abu Shah, Naib Canselor UiTM, kerana mengeluarkan kenyataan yang jelas tidak professional. Beliau sepatutnya mengelak daripada memberikan komentar-komentar seperti ahli politik. Walaupun beliau tidak menyetujui cadangan tersebut, cubalah berbicara supaya ia tidak berbaur politik. Lagipun, kenapa dia tidak mahu berkata apa-apa ketika kerajaan memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris? Kenapa dia tidak mempersoalkan pembukaan MRSM kepada bukan bumi?

Cadangan, saya ulangi, cadangan MB Selangor itu hanyalah satu cadangan, sedangkan pihak kerajaan sudahpun melaksanakan perkara-perkara yang saya sebut di atas. Saya bukanlah nak menyebelahi pembangkang, kerana saya berpegang kepada prinsip non-partisan mahasiswa. Saya hanya mahu menjentik pemikiran mereka yang hanya didedahkan dengan pemikiran satu hala sahaja.

Banyak lagi persoalan bangsa Melayu yang perlu diperjuangkan. Lihatlah Mat Rempit di jalanan! Lihatlah budaya murtad! Lihatlah ibu bapa tidak lagi dihormati! Lihatlah anak bangsa tidak pandai bercakap bahasa Melayu! Lihatlah!

Kalau mahu dibicara ikut arus politik, politiklah jadinya. Kalau mahu dibicara mengikut cara kita, luaslah jadinya. Mahu yang luaskah, atau yang sempit?

Buka mata, tepuk dada, tanya selera...