Friday, June 6, 2008

Kenaikan Harga Minyak: Nilai Semula Pendirian Kerajaan!

Kenaikan Harga Minyak: Nilai Semula Pendirian Kerajaan.

Kenaikan harga minyak yang mencatatkan rekod kenaikan tertinggi dalam sejarah negara memberikan impak yang sangat tinggi kepada rata-rata rakyat Malaysia. Umum dapat menerima kenyataan tentang kenaikan harga minyak antarabangsa, namun apabila kenaikan itu berlaku di dalam negara tercinta ini, maka rakyat tidak dapat menerimanya. Pendapat rakyat adalah negara ini merupakan pelindung mereka. Namun, selepas beberapa peristiwa sepert kenaikan harga minyak ini, kepercayaan rakyat menjadi tergugat. Di dalam hati saya, saya terus berdoa agar pendapat ini akan terus benar buat selama-lamanya.

Apabila Perdana Menteri mengumumkan kenaikan mengejut itu, seluruh rakyat menjadi kelam-kabut. Semua stesen minyak penuh kerana rakyat mahu memenuhkan tangki minyak mereka dengan harga yang rendah. Tidak ada sesiapa mahu menanggung kerugian. Begitu juga dengan kerajaan.

Pada hemat saya, kerajaan sekarang sedang cuba mendapatkan jumlah wang yang banyak untuk menampung perbelanjaan yang besar. Perbelanjaan itu berlaku akibat pelancaran pelbagai projek mega, kenaikan harga barangan dunia, kenaikan gaji, biasiswa, dan sebagainya. Memang kita nampak perbelanjaan tersebut, tetapi persoalannya ialah, perlukah wang tersebut dibelanjakan sebegitu? Tidak ada cara lainkah untuk menampung perbelanjaan itu?

Kita tidak pernah ingin mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan dalam mempertimbangkan keutamaan (priority) dalam pengurusan negara. Namun, kita menjadi gusar apabila pengumuman demi pengumuman yang dibuat oleh kerajaan acap kali menampakkan bahawa kerajaan tidak mempertimbangkan nasib rakyat kelas bawahan. Kita khuatir akibat daripada perkara ini, maka jumlah pengemis jalanan, yang memang sudah banyak bilangannya, akan semakin bertambah.

Rata-rata rakyat Malaysia mungkin mampu menghadapi kenaikan ini, selepas bersusah payah mengikat perut mereka. Namun, nasib golongan berpendapatan rendah dan golongan yang menganggur sudah pasti berakhir di tepi jalan. Ini adalah kesudahan yang kita semua tidak harapkan, tetapi inilah hakikatnya jika langkah-langkah bijak tidak diambil.

Saranan kerajaan supaya rakyat mengubah cara hidup adalah saranan yang baik. Tetapi, kerajaan perlulah mempersiapkan segala alternatif supaya perubahan dapat dilakukan. Antara perubahan yang dijangkakan akan berlaku ialah:
1) bilangan kereta di atas jalan akan berkurangan
2) pengangkutan awam akan menjadi pilihan rakyat, sedangkan perkhidmatan tersebut masih pada tahap yang mengecewakan
3) golongan miskin akan bertambah
4) rakyat akan berusaha mencari pendapatan tambahan
5) golongan kaya akan bertambah kaya

Pembangunan material negara akan bertambah dengan pesat, kerana wang subsidi itu disalurkan kepada pembangunan, tetapi rakyat bawahan tidak mendapat manfaat secara langsung daripadanya. Matlamat untuk mengurangkan kesesakan jalanraya akan tercapai, tetapi kesesakan akan berlaku dengan teruknya di stesen pengangkutan awam. Pembangunan material ini pula akan digerakkan oleh golongan kaya dan warga asing, manakala rakyat bawahan dipinggirkan. Mereka terpaksa menambahkan pendapatan masing-masing dengan pelbagai cara. Produktiviti akan merudum. Lebih teruk jika rakyat yang berfikiran cetek mencari jalan mudah mendapatkan wang dengan mencuri dan merompak.

Akhirnya, kadar jenayah akan terus meningkat. Petugas awam seperti polis dan tentera pula tidak dapat melakukan tugas dengan baik kerana mereka juga terpaksa memikirkan pelbagai perkara lain seperti kerja sambilan, perbelanjaan rumah, dan sebagainya. Mereka juga perlu dikerahkan untuk mengekang penunjuk perasaan yang berdemonstrasi membantah kenaikan harga ini.

Perkara ini adalah kebenaran yang akan berlaku, kalaupun bukan secara langsung, mungkin secara tidak langsung. Untuk mengatasi perkara ini, kerajaan perlu mempertimbangkan perkara berikut:
1) menilai semula pembangunan projek-projek mega
2) menilai semula sistem gaji dan elaun ahli parlimen
3) menilai semula sistem gaji dan elaun Perdana Menteri dan menteri cabinet
4) menilai semula kebenaran kenderaan asing mengisi minyak dengan menggunakan subsidi kerajaan
5) menurunkan semula harga minyak
6) memperkukuh perkhidmatan pengangkutan awam
7) memperkukuh sistem pengedaran barangan keperluan
8) menilai semula sistem gaji dan biasiswa rakyat
9) mengkaji penggunaan tenaga alternatif bagi menggantikan petroleum

Hasil daripada penjimatan tersebut dapat disalurkan untuk membantu mengurangkan beban rakyat. Kerajaan tidak sepatutnya ragu-ragu untuk memudahkan rakyat kerana itulah sebenarnya tugas pemimpin. Adalah malang bagi kerajaan sedia ada apabila gagal membaca hasrat sebenar rakyat Malaysia, selepas pilihanraya ke-12 baru-baru ini.

Rakyat bukanlah berharap sangat kepada pembangunan yang pesat, tetapi mereka mahukan keselamatan dari sudut kebajikan mereka. Rakyat mahukan pembangunan yang sederhana, tetapi mereka boleh hidup mewah dengannya. Lihatlah bagaimana respon rakyat kelantan, walaupun kerajaan BN menawarkan kepada mereka pembangunan yang pesat, namun mereka merasakan hidup mereka sekarang sudah selamat seterusnya menolak BN. Pembangunan material adalah perkara kedua, sedangkan keperluan asas adalah perkara yang paling utama.

Oleh itu, saya sarankan kepada kerajaan agar mengubah dasar kerajaan yang lebih mementingkan pembangunan material, kepada pembangunan yang lebih menyeluruh. Biarlah kita merangkak dalam pembangunan material, tetapi kita boleh berbangga dengan pembangunan manusiawi kita. Biarlah kita berbangga mengatakan bahawa kerajaan kita adalah pembela kita.


Ahmad Safwan Mohamad,
UIAM Kampus Kuantan,
25200 Kuantan,
Pahang Darul Makmur.
IC: 850811-08-5935
Tel: 014-8472567
Emel: eone85@yahoo.com

Tuesday, June 3, 2008

Raja Petra Kamarudin (RPK) meRePeK (RPK)

Salam perjuangan!

Agak pelik perangai si RPK ini sejak dia masuk ke dalam penjara baru-baru ini. Saya tidaklah kenal beliau secara rapat, tetapi saya kerap juga mengikuti perkembangan beliau. Kali ini, beliau meRePeK lagi dengan pelbagai RePeKan yang tidak berasas. (Lihat RePeKan beliau)

Jika dulu, beliau masuk ke penjara dan minta seringgit setiap orang untuk bebaskan beliau, beliau kumpul duit tersebut untuk bayar wang jaminan, kemudian beliau mogok lapar, kemudian beliau tak mahu berjumpa dengan sesiapa...pandai juga RPK bermain politik kebudak-budakan.

Sekarang, cuba mengatakan ABIM sebagai Bukan Islam ataupun Bullshit Muslim. Cuba tanya beliau, apa sumbangan beliau untuk usaha dakwah di Malaysia? Dengan meRePeK macam ni, Islam boleh berkembangkah?

Kalaupun ada persoalan tentang beberapa perkara, perbincangkanlah. Jangan terus meRePeK. Bila RPK meRePeK, nampak sangatlah yang beliau tidak faham Perlembagaan Persekutuan.

Ada orang pesan kepada saya, kalau kita tidak pandai, lebih baik kita diam, baru orang tak tahu yang kita tidak pandai. Tapi kalau kita bercakap, semua orang akan tahu bahawa kita tidak pandai!

Thursday, May 29, 2008

Isu uniform sekolah

Salam perpaduan!

Jemari ini terketar-ketar hendak menari di atas papan kekunci (keyboard) laptop yang saya pinjam dari adik saya, Irfan. Berguna juga laptop ini di tangan abang iwan!

Sebentar tadi saya terbaca pandangan Ketua Wanita JIM yang menyeru agar pakaian uniform sekolah dikekalkan dengan apa yang sedia ada. Katanya, pakaian sedemikian sudah sekian lama dipakai oleh para pelajar tanpa menimbulkan sebarang masalah. Mungkin beliau terlupa, beliau bukan lagi seorang 'remaja'. Mungkin juga beliau terlupa bahawa beliau dikelilingi oleh klik-klik yang memang berpakaian baik dan berfahaman tinggi tentang garis panduan pemakaian, maka suatu undang-undang tidak lagi diperlukan. Tetapi bagi pelajar yang kebanyakan, peraturan yang jelas memang diperlukan!

Kalau mahu saya dedahkan di sini, sejak di bangku sekolah menengah lagi, sembang-sembang kotor dah mula dimainkan oleh pelajar sekolah pada masa tu (5 tahun yang lepas). Perkara ini sudah pasti semakin hebat pada masa kini, memandangkan pendedahan yang melampau gara-gara globalisasi. Bukan setakat pelajar perempuan sahaja yang menjadi perhatian pelajar yang nakal, bahkan guru perempuan juga menjadi perhatian mereka. Tambahan pula sekarang ini dijadikan satu kemestian untuk guru perempuan memakai kasut bertumit tinggi, seperti yang diberitahu kepada saya oleh rakan saya yang juga seorang guru. Bagi kumpulan pelajar nakal ini, apa sahaja peluang yang ada, mereka akan gunakan. Jadi, pakaian yang nipis menjadi peluang mereka untuk dijadikan modal sembang-sembang nakal mereka.

Pernah juga saya diberi tahu tentang perbuatan pelajar ini meraba pelajar-pelajar perempuan yang bagi mereka 'murah'. Apakah indikator mereka untuk mengatakan seseorang pelajar itu 'murah'? Pakaian yang seksi dan nipis adalah indikator mereka. Jadi, mungkin Wanita JIM terlepas pandang kepada perkara ini kerana mereka bukanlah pelajar, tidak seperti HEWI PKPIM.

Saya juga berpengalaman dalam menganjurkan program motivasi di sekolah-sekolah menengah di sekitar Kuantan. Inilah perkara yang menjadi perbualan pelajar bermasalah. Mereka bukan bercakap tentang, "Baju si dia nipislah...", tetapi mereka terus bercakap tentang, "Cuba teka, apa warna baju dalam atau coli si dia?..." Perkara ini adalah realiti pelajar sekarang. Jika ditetapkan sesuatu peraturan yang jelas, sudah pasti perkara ini dapat dielakkan.

Wanita JIM juga berpendapat, "Masalah sosial dan gejala seksual yang semakin meruncing di kalangan pelajar sebenarnya berpunca dari krisis nilai, hakisan pegangan agama dan moral yang sedang hebat melanda masyarakat kini." Aduh, naif sungguh pendapat ini. Malang bagi mereka kerana tidak dapat mengembangkan perbincangan mereka kepada perkara yang lebih praktikal!

Perbicaraan tentang krisis nilai, hakisan pegangan agama, dan moral adalah suatu yang terlalu umum, tidak praktikal dan tidak membumi. Ia hanya mengerewang di atas angin. Tindakan menetapkan suatu peraturan yang jelas sebenarnya adalah proses membetulkan sistem nilai pelajar tersebut. Di samping itu, pegangan agama yang kuat perlu terus diterapkan di dalam aktiviti seharian, dan ianya bukanlah suatu yang bertentangan. Begitu juga dengan pegangan moral. Sebagai seorang doktor, saya rasa mereka faham akan konsep ini.

Seperti Hipertensi, ia adalah multi-faktorial. Jika ia adalah multi-faktorial, adakah kita meninggalkan semua langkah prevensi, atau kita melaksanakan sebanyak prevensi yang kita mampu? Kita mulakan dengan perkara yang paling penting dan yang paling mengganggu pesakit, ataupun simptomatik. Kemudian, barulah kita ubati penyakit sebenar pesakit itu, ataupun kita mulakannya sekali dengan rawatan simptomatik tadi.

Apakah masalah Wanita JIM untuk menyetujui HEWI PKPIM, sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Muslimat PAS dan 70% pengundi di Buletin Utama TV3?

Wednesday, April 9, 2008

Beberapa isu semasa...

Jari kembali menari di atas papan kekunci (keyboard) komputer di perpustakaan ini. Maklumlah, komputer sendiri di bilik masih lagi belum mandapat asses internet UIAM. Tak tahu di mana silapnya, permintaan demi permintaan SRC dan MRC masih terus dipinggirkan.

Kali ini, tarian jemari ini akan lebih menumpukan kepada isu-isu setempat, bukanlah isu picisan UIAM yang sudah kami terbiasa dengannya. Kalau nak dibicarakan tentang kebajikan mahasiswa di sini, mungkin puluhan tahun lagipun tak akan habis.

Sebentar tadi, terbaca laporan akhbar menceritakan kumpulan manusia yang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan pejabat kerajaan negeri Selangor, membantah pembinaan Ladang Babi di Sepang. Mungkin ada asanya permintaan mereka. Tetapi yang tidak sedapnya, mereka ini dikatakan kumpulan penyokong UMNO. Beberapa sebab saya ketekan tidak sedap:
1) Setelah sekian lama berkuasa, baru sekarang mereka mahu bersuara?
2) Apa kepentingan mereka?
3) Isu ini menunjukkan kegagalan kerajaan lalu mengatasi masalah ladang Babi Haram...
4) Pencemaran berpunca daripada ketidak-terurusan...apabila ada usaha mahu mengurus, bukankah akan tamat pencemaran?
5) Ceteknya akal orang-orang yang bermain di belakang lakonan itu...

Isu kedua, seorang pelajar UIAM ditahan daripada mendapatkan bayaran PTPTN dan slip keputusannya kerana terlibat dalam aktiviti politik semasa bergelar mahasiswa. Dia adalah antara pengasas PMN yang akan berkubur itu...(maaf kalau terasa. Itu pendapat saya). Dia cukup marah dengan alasan bahawa dia sudah menamatkan pengajiannya semasa Nov dahulu. Persoalannya, sudahkah dia mendapatkan skrol graduasi? Apa makna 'tamat pengajian'? Bukankah itu graduasi namanya? Macam mana saya mahu sokong PMN kalau macam ni...

Isu ketiga, FITNA!
Kenapa isu FITNA ini penting kepada MUSLIM? Kerana ini adalah ujian kepada sistem alert umat Islam seluruh dunia. kalau sistem ini tidak berjaya, maknanya seakan-akan sistem badan yang 'hyposensitif'. Kalau sistem badan 'hyposensitif', rosaklah badan tu. Tetapi, kalau sistem badan 'hypersensitif' juga akan merosakkan badan tu. Maknanya, Umat Islam tidak boleh 'over-reactive' dalam memberi respon kepada isu FITNA. Kita kena reactive, tetapi jangan over, sampaikan si Hizbut-Tahrir yang ekstrim itu mengugut bunuh si Geert Wildeers tu. Itu seakan-akan membenarkan kenyataan dia bahawa Islam itu Ekstrim.
Sepatutnya umat Islam menunjukkan akhlak yang baik. Nafikan video itu dengan perbuatan. Tunjuk perasaan mungkin boleh, tapi jangan terlalu keras. Bukan tunjuk perasaan matlamat kita. Matlamat kita ialah nak menyatakan dia salah!
Saranan saya, boikot barangan Belanda kerana ini kesalahan mereka yang ke sekian kali. Kemudian turun ke masyarakat untuk menyatakan kesederhanaan Islam. Lepas itu, buktikan Islam itu sederhana dengan berkelakuan baiklah dengan semua manusia, haiwan dan alam.

Isu keempat, filem AKHIRAT.
Filem ini katanya lebih dahsyat daripada FITNA. AKHIRAT ini seolah-olah tidak takut akan akhirat yang sebenar. Pelakon-pelakonnya berpeluk-pelukan dengan ayatnya yang mengghairahkan, memang sangat liberal. Tak perlulah nak disalahkan si Belanda itu, kalau Si Muslim inipun kita tidak mampu membetulkan. Sepatutnya filam AKHIRAT itu kita sama-sama boikot, untuk selamatkan maruah ISLAM dan negara ini sendiri. Mana yang lebih penting, industri filem, atau industri akhlak dan adat? Saya mahu melihat, apakah sebenarnya reaksi rakyat kita....matang atau tidak dalam menghadapi situasi sebegini. Kalau matang, boikotlah!

Penutup, jemari ini sudah keletihan. Walaupun tak banyak isu yang dikatakan, tetapi cukuplah untuk menjadi penggetar kotak minda, supaya terus berfikir. Bincangkan dengan yang lain tentang hal ini..wallahua'alam...

Monday, April 7, 2008

Hak istimewa Melayu tetap kekal (daripada Berita Harian, 14/3/08)

Hak istimewa Melayu tetap kekal
Oleh Shad Faruqi
Budi bicara Yang di-Pertuan Agong alternatif kepada kehilangan majoriti dua pertiga SELEPAS keputusan mengejutkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, ramai yang mula tertanya-tanya berkaitan soal Perlembagaan, Parlimen, hubungan antara Kerajaan Pusat-negeri dan hak keistimewaan orang Melayu. Misalnya, ada yang bertanya apa akan jadi kepada Barisan Nasional (BN) berikutan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, apabila memperoleh cuma 140 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan atau 63 peratus sokongan dalam Dewan Rakyat.
Ini adalah pencapaian paling rendah dalam sejarah BN. Tetapi kehilangan majoriti dua pertiga sebenarnya bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Keadaan serupa berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1969. Perikatan (kini BN) hanya menang 49 peratus undi popular dan 66 peratus kerusi di Dewan Rakyat. Tetapi ketika ini, ia melebihi 50 peratus undi popular dan 63 peratus kerusi. BN mempunyai lebih 28 Ahli Parlimen bagi mengatasi jumlah 112 majoriti mudah dan cuma kurang lapan bagi mendapat majoriti dua pertiga.
Jika mengguna pakai standard dunia, keputusan itu dianggap kemenangan yang hebat dan cukup selesa. Penyandang jawatan Perdana Menteri di United Kingdom (UK), India dan Jepun boleh bertahan dan kekal di jawatan itu, walaupun kemenangan itu lebih berkurangan. Apa yang membimbangkan ialah kehilangan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, bermakna pindaan terhadap undang-undang dan bajet mungkin tidak boleh diluluskan. Kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas. Secara psikologinya, kita sudah biasa dengan majoriti yang tinggi dan tiada halangan perundangan, tetapi apabila sesuatu yang ‘biasa dan sihat’ seperti majoriti 63 peratus terjadi, kita melihat akan ada bahaya. Mengikut Artikel 62 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua rang undang-undang biasa memerlukan majoriti mudah mereka yang hadir di Parlimen dan mengundinya. Rang Undang-Undang Kewangan memerlukan majoriti mudah. Undang-undang untuk menangani subversif mengikut Artikel 149 dan perkara berkaitan darurat mengikut Artikel 150 juga memerlukan majoriti mudah.
Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak memerlukan kelulusan Parlimen terlebih dulu atau kemudian dan kerajaan boleh bersandarkan kepada kuasa biasa ini dalam keadaan luar biasa seperti itu. Jumlah cabang perundangan yang banyak ini yang dirangka oleh eksekutif tidak memerlukan kelulusan Parlimen terlebih dulu. Sekiranya Perlembagaan perlu dirangka semula mengikut Seksyen 10 Jadual 13, ia memerlukan undi ‘tidak kurang separuh daripada jumlah ahli di Dewan Rakyat’. BN mempunyai lebih separuh daripada jumlah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, halangan memang wujud dalam tiga bentuk: l Pindaan Perlembagaan mengikut Artikel 159 (3), 159 (5) dan 161E memerlukan majoriti dua pertiga dan majoriti itu tidak ada pada BN. Bagaimanapun, perlu diingat, Perikatan dulu pun tidak mempunyai majoriti dua pertiga antara 1971 hingga 1974; l Mengikut Artikel 2 (b), jika persempadanan negeri (contohnya Selangor dan Sabah pada masa lalu) diubah, pindaan itu akan memerlukan pertimbangan Dewan Undangan Negeri; l Dalam usaha untuk menyeragamkan undang-undang mengikut Artikel 76, misalnya hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meminda undang-undang yang berada dalam kuasa negeri, kemudian tertakluk kepada pengecualian tertentu, maka undang-undang seperti itu mesti diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri. Amat jelas, Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan akan menyokong langkah itu, tidak boleh diambil ringan. Selain tiga perkara itu, kita juga boleh menjangka berlaku perdebatan yang hangat apabila tiba waktu perbahasan selepas bacaan kedua terhadap sesuatu rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat dan cadangan kerajaan itu akan melalui penelitian yang lebih rapi. Pembangkang sudah pasti, mahukan suara mereka kedengaran di situ, tetapi akhirnya kerajaan akan mendapat apa yang mereka mahu dan kemudian melaksanakannya. Bagaimana pula dengan kedudukan Perdana Menteri?. Secara perundangan, mana-mana ahli Dewan Rakyat yang disokong oleh majoriti mudah daripada jumlah keseluruhan ahli, layak menyandang jawatan itu mengikut Artikel 43 (2). Tiada keperluan bahawa orang ini mesti mewakili parti terbesar atau mana-mana parti sekali pun. Sebagai contoh, pada suatu ketika dulu, Perdana Menteri India, Indira Gandhi pernah dipecat daripada Parti Kongres pimpinannya. Pada akhir 1980-an, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berparti apabila Umno diisytiharkan haram. Namun, kedua-dua Perdana Menteri itu kekal dengan jawatan disebabkan sokongan di Parlimen. Bagaimanapun, jika sokongan hilang, yang mengubah suasana politik dan soal perundangan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara untuk memilih orang lain yang mendapat sokongan majoriti. Berikutan lima negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang selain Kelantan kini dikuasai pembangkang, timbul pula soal berkaitan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Adalah dijangka berlaku ketegangan antara Kerajaan Persekutuan dengan lima negeri yang dikuasai pembangkang itu. Tetapi ini adalah sesuatu yang bukan luar biasa dalam sistem Persekutuan. Apa yang perlu diingat ialah Perlembagaan Persekutuan menyediakan mekanisme yang cukup (dalam bentuk Majlis Kewangan Kebangsaan, Majlis Tanah Kebangsaan dan Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan) untuk menyelesaikan konflik itu. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, beberapa sumber hasil pendapatan dijamin masuk ke kantung negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak berhak untuk menahan sumber kewangan itu. Sumber itu ialah pemberian ikut kepala mengikut Artikel 109; Peruntukan Jalan raya Negeri mengikut Jadual 10 dan 14, mengenai sumber pendapatan yang disebut mengikut Artikel 110 dan Jadual 9. Sebagai tambahan, ada Tabung Simpanan Negeri mengikut Artikel 109 (6), Peruntukan bersyarat kepada negeri mengikut Artikel 109 (3) dan pinjaman. Kerajaan Persekutuan mempunyai budi bicara yang luas dalam aspek ini. Apakah keadaan sekarang juga boleh menggugat kedudukan hak keistimewaan orang Melayu?. Mengikut Artikel 153 Perlembagaan adalah satu perlindungan terbaik dan peruntukan yang kukuh sebagai asas kepada perkara ini. Di samping majoriti dua pertiga, pindaan atau pemansuhannya akan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. Ia bukanlah sesuatu hujah yang boleh dipermain-mainkan bagi meminda artikel ini. Dalam hal peruntukan Perlembagaan kepada Kerajaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung dan pertahanan kepada hak keistimewaan orang Melayu. Apa juga perubahan dalam keputusan pilihan raya, hak keistimewaan orang Melayu tidak akan terjejas secara perundangan. Pada peringkat negeri, semua Perlembagaan di negeri Melayu mengandungi peruntukan yang sama seperti Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Pulau Pinang dan Melaka tidak ada seperti peruntukan mengikut Artikel 153. Tetapi dalam semua perkara di mana kuasa Pusat wujud, dasar tindakan afirmatif akan terus dilaksanakan. Saya tidak percaya Melayu perlu bimbang mengenai perkara ini.
Penulis ialah Profesor Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Ada apa dengan PRU-12?

Salam perpaduan dan perjuangan!
Dalam menilai situasi politik semasa, kita tidak harus lupa untuk melihat kembali sejarah yang menjadi bekalan kita. Ramai orang cuba mengaitkan isu 13 Mei selepas DAP memenangi banyak kerusi dalam pilihanraya yang lepas. Menurut mereka, situasi sekarang amat mirip situasi pada waktu tersebut. Dengan rasa rendah diri, saya berpendapat suasana sudah berubah.
Dalam forum bersama Datuk Johan Jaafar, semasa menghadiri kursus MPP anjuran KPT, beliau seakan-akan mencabar mahasiswa untuk merubah suasana kebergantungan masysrakat kepada akhbar arus perdana. Katanya, bagi orang akhbar seperti beliau, mereka menyajikan apa yang diingini oleh masyarakat. Jika masyarakat inginkan hiburan, maka hiburanlah yang akan disajikan. Beliau meletakkan kesalahan kepada masyarakat, bukan akhbar.
Tetapi bagi saya, akhbar merupakan kuasa yang membentuk pemikiran masyarakat. Jika benar masyarakat inginkan hiburan, dan akhbar memberi respon menerbitkan lebih banyak kandungan hiburan, maka semakin ghairahlah masyarakat dihanyut keinginan mereka itu. Maksud saya, akhbar sendiri menyumbang kepada pembentukan keinginan masyarakat dengan memberikan persepsi-persepsi terhadap sesuatu isu. Begitu jugalah isu perkauman ini.
Setiap hari, akhbar meniupkan semangat perkauman yang kononnya kuasa politik Melayu sudah hilang. Beberapa hari yang lalu pula, timbul pula pendapat bahawa kuasa politik India juga sudah hilang, kerana MIC sudah tewas. Mengapa perlu ditiupkan semangat-semangat sebegini? Adakah akhbar mahukan masyarakat hanyut dengan semangat perkauman sebegini?
Bukankah Negara Islam Madinah dipimpin oleh saeorang Muslim, yang menjaga kebajikan dan kepentingan semua umat dan rakyat? Maknanya, siapa jua pemimpin di atas tidak penting, asalkan dia menjaga kebajikan semua rakyat.
Bagaimana pula dengan semangat perkauman? Memang benar, kepentingan kaum turut dipertimbangkan semasa pemilihan Khalifah pengganti Rasulullah. Namun, perkara ini tidak harus dijadikan isu utama yang perlu diperbincangkan di mana-mana sahaja. Perbincangan seara intelektual amat digalakkan, tetapi perbincangan secara emosi perlu ditinggalkan. Janganlah kerana terlalu menjaga nilai jualan akhbar, akhirnya negara dilanda pergeseran antara kaum.
Namun begitu, secara keseluruhannya, saya peraya golongan muda yang intelektual tidak akan mudah terpengaruh dengan provokasi media ini. Lagipun, kejatuhan dinasti BN semasa PRU12 inipun disebabkan rakyat tidak lagi mempercayai atau bergantung pada akhbar arus perdana ini. Kepada Datuk Johan, saya ingin memberikan jawapan, bahawa masyarakat kini sudah tidak lagi mudah dibuai oleh laporan media Datuk. Rakyat sudah ada media alternatif untuk membuat penilaian. Kita tidak akan dihanyutkan oleh provokasi media, bahkan kita mengutuk usaha media untuk meniupkan semangat perkauman dalam masyarakat Melayu.

Universiti Apeks: Mampukah UIAM?

Universiti Apeks: Mampukah UIAM?
Pelan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi menggambarkan bahawa suatu komitmen yang tinggi telah diletakkan oleh kementerian untuk mewujudkan sebuah universiti bertaraf antarabangsa. Komitmen ini diperkukuhkan lagi oleh keberkongsian kementerian dengan para perwakilan mahasiswa untuk sama-sama menjayakan visi ini. Namun, dalam berbicara tentang taraf universiti yang tinggi ini, perlu bagi setiap warga universiti termasuklah mahasiswa untuk mencerminkan diri, lantas mengambil segala kritikan untuk dijadikan azimat demi memacu ke arah visi unggul tersebut.
UIAM, atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, namanya gah dan menjadi kebanggaan para warganya. Hari demi hari, semakin banyak jasa yang dicurahkan oleh universiti ini kepada masyarakat. Percambahan idea, pembentukan budaya intelektual, dan sebagainya menjadikan universiti ini unik dengan gayanya tersendiri. Namun, untuk mencapai taraf universiti apeks, yang sepatutnya diidamkan oleh semua universiti di negara ini, mungkin hanyalah sebagai sebuah mimpi di siang hari.
Pengurusan yang kurang effisien akan membantutkan impian ini. Semua warga universiti ini sudah tahu, gaya pengurusan di sini boleh dianggap antara yang tidak baik berdasarkan pelbagai masalah yang masih tidak selesai. Penulis tidak berhasrat untuk mencatatkan secara terperinci apa maksud kesalahan pengurusan di atas, kerana ia tidak lain hanya membuka pekung di dada. Yang pasti, pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa sudah acap kali menegur dan bernegosiasi dengan pihak pengurusan tentang kelemahan tersebut. Malangnya, suara mahasiswa tidak dipedulikan di sini.
Akhirnya, mahasiswa juga yang menjadi mangsa ketidakcekapan pihak terbabit. Jika rakan-rakan di universiti lain mengadu tentang perkhidmatan internet yang tidak baik, dan sebagainya, biar penulis jelaskan bahawa rakan-rakan anda di universiti tercinta ini pula tidak mempunyai perkhidmatan internet langsung, terutama di Kampus Kuantan yang menempatkan kursus-kursus kritikal seperti Perubatan, Farmasi, Kejururawatan, Sains Kesihatan Bersekutu, Pergigian, dan Sains. Walaupun ada disediakan makmal komputer, tetapi ia hanya dapat digunakan pada masa-masa tertentu sahaja.
Apabila suara mahasiswa diketepikan, mereka akan menjadi terdesak. Mereka tidak ada lagi tempat untuk mengadu. Negosiasi yang dijalankan dengan pihak terbabit tidak mendatangkan hasil. Maka akhirnya, akhbarlah menjadi tempat mahasiswa mengadu, dengan harapan mereka yang membaca rintihan ini akan bersimpati dan melakukan apa sahaja yang termampu demi manjayakan visi Pelan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi. Perlu kita ingat, mahasiswa adalah kumpulan sasaran pelan tersebut, bahkan segala pelan yang dirangka oleh kerajaan. Jika kumpulan sasaran ini gagal diberi perhatian, kepada siapakah lagi pelan ini hendak disasarkan? Tidak ada lagi gunanya pelan tersebut tanpa kumpulan sasaran. Diharap agar pihak terbabit mengambil langkah sewajarnya supaya UIAM akan muncul sebagai antara 200 universiti terbaik dunia.