Friday, June 6, 2008

Kenaikan Harga Minyak: Nilai Semula Pendirian Kerajaan!

Kenaikan Harga Minyak: Nilai Semula Pendirian Kerajaan.

Kenaikan harga minyak yang mencatatkan rekod kenaikan tertinggi dalam sejarah negara memberikan impak yang sangat tinggi kepada rata-rata rakyat Malaysia. Umum dapat menerima kenyataan tentang kenaikan harga minyak antarabangsa, namun apabila kenaikan itu berlaku di dalam negara tercinta ini, maka rakyat tidak dapat menerimanya. Pendapat rakyat adalah negara ini merupakan pelindung mereka. Namun, selepas beberapa peristiwa sepert kenaikan harga minyak ini, kepercayaan rakyat menjadi tergugat. Di dalam hati saya, saya terus berdoa agar pendapat ini akan terus benar buat selama-lamanya.

Apabila Perdana Menteri mengumumkan kenaikan mengejut itu, seluruh rakyat menjadi kelam-kabut. Semua stesen minyak penuh kerana rakyat mahu memenuhkan tangki minyak mereka dengan harga yang rendah. Tidak ada sesiapa mahu menanggung kerugian. Begitu juga dengan kerajaan.

Pada hemat saya, kerajaan sekarang sedang cuba mendapatkan jumlah wang yang banyak untuk menampung perbelanjaan yang besar. Perbelanjaan itu berlaku akibat pelancaran pelbagai projek mega, kenaikan harga barangan dunia, kenaikan gaji, biasiswa, dan sebagainya. Memang kita nampak perbelanjaan tersebut, tetapi persoalannya ialah, perlukah wang tersebut dibelanjakan sebegitu? Tidak ada cara lainkah untuk menampung perbelanjaan itu?

Kita tidak pernah ingin mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan dalam mempertimbangkan keutamaan (priority) dalam pengurusan negara. Namun, kita menjadi gusar apabila pengumuman demi pengumuman yang dibuat oleh kerajaan acap kali menampakkan bahawa kerajaan tidak mempertimbangkan nasib rakyat kelas bawahan. Kita khuatir akibat daripada perkara ini, maka jumlah pengemis jalanan, yang memang sudah banyak bilangannya, akan semakin bertambah.

Rata-rata rakyat Malaysia mungkin mampu menghadapi kenaikan ini, selepas bersusah payah mengikat perut mereka. Namun, nasib golongan berpendapatan rendah dan golongan yang menganggur sudah pasti berakhir di tepi jalan. Ini adalah kesudahan yang kita semua tidak harapkan, tetapi inilah hakikatnya jika langkah-langkah bijak tidak diambil.

Saranan kerajaan supaya rakyat mengubah cara hidup adalah saranan yang baik. Tetapi, kerajaan perlulah mempersiapkan segala alternatif supaya perubahan dapat dilakukan. Antara perubahan yang dijangkakan akan berlaku ialah:
1) bilangan kereta di atas jalan akan berkurangan
2) pengangkutan awam akan menjadi pilihan rakyat, sedangkan perkhidmatan tersebut masih pada tahap yang mengecewakan
3) golongan miskin akan bertambah
4) rakyat akan berusaha mencari pendapatan tambahan
5) golongan kaya akan bertambah kaya

Pembangunan material negara akan bertambah dengan pesat, kerana wang subsidi itu disalurkan kepada pembangunan, tetapi rakyat bawahan tidak mendapat manfaat secara langsung daripadanya. Matlamat untuk mengurangkan kesesakan jalanraya akan tercapai, tetapi kesesakan akan berlaku dengan teruknya di stesen pengangkutan awam. Pembangunan material ini pula akan digerakkan oleh golongan kaya dan warga asing, manakala rakyat bawahan dipinggirkan. Mereka terpaksa menambahkan pendapatan masing-masing dengan pelbagai cara. Produktiviti akan merudum. Lebih teruk jika rakyat yang berfikiran cetek mencari jalan mudah mendapatkan wang dengan mencuri dan merompak.

Akhirnya, kadar jenayah akan terus meningkat. Petugas awam seperti polis dan tentera pula tidak dapat melakukan tugas dengan baik kerana mereka juga terpaksa memikirkan pelbagai perkara lain seperti kerja sambilan, perbelanjaan rumah, dan sebagainya. Mereka juga perlu dikerahkan untuk mengekang penunjuk perasaan yang berdemonstrasi membantah kenaikan harga ini.

Perkara ini adalah kebenaran yang akan berlaku, kalaupun bukan secara langsung, mungkin secara tidak langsung. Untuk mengatasi perkara ini, kerajaan perlu mempertimbangkan perkara berikut:
1) menilai semula pembangunan projek-projek mega
2) menilai semula sistem gaji dan elaun ahli parlimen
3) menilai semula sistem gaji dan elaun Perdana Menteri dan menteri cabinet
4) menilai semula kebenaran kenderaan asing mengisi minyak dengan menggunakan subsidi kerajaan
5) menurunkan semula harga minyak
6) memperkukuh perkhidmatan pengangkutan awam
7) memperkukuh sistem pengedaran barangan keperluan
8) menilai semula sistem gaji dan biasiswa rakyat
9) mengkaji penggunaan tenaga alternatif bagi menggantikan petroleum

Hasil daripada penjimatan tersebut dapat disalurkan untuk membantu mengurangkan beban rakyat. Kerajaan tidak sepatutnya ragu-ragu untuk memudahkan rakyat kerana itulah sebenarnya tugas pemimpin. Adalah malang bagi kerajaan sedia ada apabila gagal membaca hasrat sebenar rakyat Malaysia, selepas pilihanraya ke-12 baru-baru ini.

Rakyat bukanlah berharap sangat kepada pembangunan yang pesat, tetapi mereka mahukan keselamatan dari sudut kebajikan mereka. Rakyat mahukan pembangunan yang sederhana, tetapi mereka boleh hidup mewah dengannya. Lihatlah bagaimana respon rakyat kelantan, walaupun kerajaan BN menawarkan kepada mereka pembangunan yang pesat, namun mereka merasakan hidup mereka sekarang sudah selamat seterusnya menolak BN. Pembangunan material adalah perkara kedua, sedangkan keperluan asas adalah perkara yang paling utama.

Oleh itu, saya sarankan kepada kerajaan agar mengubah dasar kerajaan yang lebih mementingkan pembangunan material, kepada pembangunan yang lebih menyeluruh. Biarlah kita merangkak dalam pembangunan material, tetapi kita boleh berbangga dengan pembangunan manusiawi kita. Biarlah kita berbangga mengatakan bahawa kerajaan kita adalah pembela kita.


Ahmad Safwan Mohamad,
UIAM Kampus Kuantan,
25200 Kuantan,
Pahang Darul Makmur.
IC: 850811-08-5935
Tel: 014-8472567
Emel: eone85@yahoo.com

1 comment:

Kuey san said...

bilangan kenderaan akan berkurangan? x mengurangkan masalah kenaikan harga petrol pun.. sbb? harga kereta dah murah.. semua org mampu bli..tp nak isi 'makanan' tuk kereta tu yg jd masalah. Rebat yg k'jaan nak kasi tuh...tak yg semua akan rasa manfaatnya.


Hari ini..disebabkan minyak naik.. semua harga barang naik. sape susah? KAMI!

bgs la..yg kaya trus mantap. yg miskin trun papa. Tahniah !